PASIR SALAK: Kembar maut selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kampung Changkat Rambai, Kampung Gajah, di sini, hari ini.
Mangsa yang maut ialah Nur Shahidah Abdull Karim dan Nur Zuhaida Abdull Karim, 33 tahun,
Komander Operasi merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah, Abd Hadi Abdullah, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 11.17 pagi.
Menurutnya, kemalangan itu membabitkan kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki dua wanita berusia 33 tahun dan sebuah SUV jenis Nissan X-Trail yang dinaiki seorang lelaki dan seorang wanita berusia awal 40-an.
“Anggota bomba diarahkan mengeluarkan dua wanita yang tersepit di dalam Perodua Kancil dengan menggunakan peralatan khas.
“Kedua-dua wanita berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Dua lagi mangsa yang menaiki Nissan X-Trail cedera ringan,” katanya.
Menurutnya, operasi berkenaan ditamatkan jam 1.10 petang.