Tumpuan :
Nasional

Kembalikan sistem ‘Gantian Pekerja’ atasi isu kekurangan pekerja asing – PRESMA

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) memohon agar kerajaan mengembalikan semula sistem ‘Gantian Pekerja’ sebagai langkah mengatasi isu kekurangan pekerja asing.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, langkah itu penting bagi memberi ruang kepada pengusaha restoran bagi menggantikan pekerja yang telah pulang ke negara asal.

“Dasar ini pernah diamalkan sebelum ini tetapi telah dihentikan oleh kerajaan yang terdahulu.

“Kita faham kebimbangan tentang isu lambakan pekerja asing tetapi sekiranya kerajaan dapat perkenal semula sistem ini permohonan baharu pekerja asing dapat dikurangkan,” katanya ketika sidang media di ibu negara hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Jawahar berkata, jumlah keseluruhan warga asing dalam industri berkenaan masih lagi terkawal.

Ia berikutan jumlah keseluruhan tenaga kerja asing bagi industrinya tidak melebihi 18 peratus daripada jumlah keseluruhan 2.5 juta pekerja asing dalam sektor perkhidmatan.

Dalam pada itu, PRESMA juga meminta agar kerajaan meneliti semua had umur pekerja asing daripada 18-45 tahun hingga 18-60 tahun.

“Kebanyakan pekerja kami masih sihat dan didapati mampu laksanakan tugas mereka dengan baik melangkau telah melebihi usia 45 tahun.

Pada sidang media itu juga, pihaknya turut menggesa kerajaan agar menangguhkan pelaksanaan sistem levi berperingkat.

Jelasnya, tindakan itu perlu bagi memberi ruang menangani isu kekurangan pekerja dan keadaan ekonomi yang lebih stabil.

“Sistem levi berperingkat akan meningkatkan kos pengambilan pekerja asing khususnya bagi industri kecil seperti restoran.

“Peningkatan kos operasi boleh menyebabkan kenaikan harga makanan sekali gus membebankan pengguna,” katanya lagi.

Turut hadir, Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) yang juga mengemukakan tuntutan sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini