Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kematian petugas kesihatan: KKM tangani isu kesihatan mental, pengurusan tekanan warga kerja

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menangani isu kesihatan mental dan pengurusan tekanan dalam kalangan warga kerjanya susulan kematian mengejut melibatkan dua petugas kesihatan di Klang, awal bulan ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, pelbagai langkah telah diambil seperti sesi kaunseling dan Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan atau Talian HEAL 15555.

Ini termasuk memberi keutamaan kepada isu tersebut dalam tonggak kedua Kertas Putih Kesihatan iaitu mempertingkatkan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit.

“Langkah-langkah sedia ada agak mencukupi tapi kalau kita (KKM) lihat ada tambah baik, saya pasti kita akan lakukan,” katanya yang ditemui selepas melancarkan Persidangan Antarabangsa Global Association of Clinical Officers and Physician Associates (GACOPA) kali ke-3, di sini hari ini.

Semalam, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dilaporkan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan polis menjalankan siasatan setelah menerima laporan mengenai kematian petugas yang berkhidmat di dua fasiliti kesihatan berbeza.

Laporan diterima masing-masing pada 4 dan Jun lalu.

Difahamkan satu kes itu membabitkan seorang doktor hamil empat bulan yang ditemukan mati tergantung dalam sebuah bilik di rumahnya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim tidak menolak kemungkinan tekanan perasaan menjadi punca mangsa berusia 32 tahun dan bekerja sebagai doktor di sebuah klinik kesihatan kerajaan bertindak sedemikian.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha menasihatkan petugas KKM yang mempunyai masalah emosi dan tekanan kerja untuk mendapatkan bantuan yang disediakan.

“Saya amat terkesan dengan insiden ini dan kita ambil berat isu kesihatan mental dalam kalangan petugas. Saya harap kita semua khususnya petugas kesihatan menjaga diri dan berharap perkara ini tidak terus berulang. Apapun kita lakukan siasatan dengan lebih terperinci (kes ini),” katanya.

Loading...
Terkini