KOTA BHARU: Polis mengesahkan kematian seorang penuntut politeknik di Jalan Sultan Ibrahim, di sini semalam akibat keracunan gas karbon monoksida.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian jam 10.17 malam tadi.
Polis mengesahkan kematian seorang penuntut politeknik di Jalan Sultan Ibrahim, di sini semalam akibat keracunan gas karbon monoksida. pic.twitter.com/XxaSsj7i3d
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) November 27, 2023
Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kematian mangsa, Fatin Ieram Bariah Muhamad Sobri, 20, tiada unsur jenayah.
“Punca kematian disebabkan keracunan gas karbon monoksida dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Mangsa ditemukan sudah tidak sedarkan diri oleh pekerja sebuah stesen minyak yang ternampak kelibat kenderaan jenis Perodua Myvi milik pelajar itu yang diparkir agak lama.
Turut berada dalam kenderaan itu adalah rakan lelaki mangsa, Wan Muhamad Haris Aiman Muhamad, 20, yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ), Kota Bharu dan dilaporkan stabil.
Ibu mangsa, Rohana Ismail, 41, berkata, dia menerima panggilan jam 10.45 malam tadi oleh ahli keluarga yang bertanyakannya sama ada sudah mengetahui atau belum kejadian yang menimpa anak sulungnya itu.
“Menurut pemanggil, Ieram tidak sedarkan diri dan suami bergegas ke lokasi stesen minyak yang diberitahu tapi anak saya dan rakannya sudah dikeluarkan dari kereta.
“Saya kemudiannya terus ke hospital dan hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya melihat Ieram sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat, hari ini.
Rohana berkata, anak sulung dari enam beradik itu dalam perjalanan menghantar rakan lelakinya yang dikenali sejak zaman persekolahan itu ke rumah kakak sebelum singgah di stesen minyak terbabit.
Katanya lagi, anaknya yang mengambil jurusan Diploma Pengajian Perniagaan di Politeknik Kok Lanas, Kota Bharu menetap di rumah sewa sekitar kolej dan hanya pulang ke kampung pada petang Khamis sebelum kembali ke sana pagi Ahad.
“Ieram baharu kembali ke politeknik semalam dan sebelum memasuki kereta jam 6.45 pagi, dia sempat bersalam dan memeluk saya seperti biasa.
“Petang semalam juga saya ada menunjukkan tema baju raya warna merah bata kepadanya dalam kumpulan WhatsApp keluarga dan Ieram bersetuju dengan pilihan itu namun sangat sedih kerana dia tidak sempat mengenakannya raya nanti,” katanya.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kajang Sebidang jam 2 petang tadi.