Tumpuan :
Nasional

Kematian kucing di UM: Siasatan DVS tidak menemui sebarang bukti, bangkai telah terurai

Foto tular

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) tidak menjumpai sebarang karkas, darah atau apa-apa bukti berkaitan kematian kucing yang dilaporkan berlaku di Universiti Malaya (UM), semalam.

DVS dalam satu kenyataan mengesahkan menerima aduan berhubung dua kejadian berasingan melibatkan kes kematian kucing di universiti tersebut, baru-baru ini.

Terbaharu, DVS menerima aduan semalam melibatkan empat ekor kucing di lokasi berbeza di sekitar kampus universiti terbabit.

Ia membabitkan kawasan di Perpustakaan UM, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi serta Pusat Asasi Sains UM berdekatan Pusat Mikrobiologi dan Genetik Molekul dan Ambang Asuhan Jepun.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pihak pengurusan keselamatan universiti yang memaklumkan bangkai kucing dikatakan telah dihantar ke klinik veterinar yang tidak dikenal pasti oleh wakil Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM).

“Pasukan penyiasat juga gagal mendapatkan maklumat daripada wakil KMUM pada hari tersebut,” kata dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, DVS menerima aduan pada 17 Disember lalu berhubung kematian kucing di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi.

DVS menjalankan siasatan pada hari yang sama.

Bagaimanapun maklumat yang diperolehi daripada pihak pengurusan UM menyatakan kejadian sebenar telah berlaku pada 12 Disember lalu dan bangkai kucing telah ditanam di sekitar bangunan fakulti berkenaan.

“Pihak pengurusan universiti juga memaklumkan bahawa tiada saksi yang menyaksikan kejadian tersebut berlaku serta tiada CCTV pada bangunan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan terhadap bangkai kucing yang digali menunjukkan bangkai sudah terurai dan tidak boleh dilakukan bedah siasat bagi mengesahkan kejadian sebenar,” katanya.

Tegas kenyataan itu, DVS memandang serius terhadap kejadian tersebut dan menyarankan pelbagai pihak supaya membuat aduan secara rasmi sekiranya terdapat kes kezaliman haiwan seperti ini kepada pihak berkuasa veterinar.

“DVS juga menyeru supaya sebarang aduan hendaklah dibuat kepada pihak berkuasa veterinar agar tindakan dapat diambil selaras dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772].” tegasnya.

Tindakan yang tidak mengikut saluran yang tepat dikhuatiri boleh mengganggu siasatan yang akan dijalankan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini