Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima satu lagi kes melibatkan penganiayaan haiwan yang berlaku di Universiti Malaya (UM), hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan awal terhadap kes terbabit yang melibatkan seekor kucing dan anjing.
RINGKAS AI
Kes penganiayaan haiwan terbaharu di Universiti Malaya (UM): Polis sedang menyiasat insiden terbaharu selepas bangkai kucing dan anjing ditemui di Gym Arena UM. Pejabat Keselamatan UM telah dimaklumkan dan langkah kawalan termasuk pemantauan rakaman CCTV sedang dilaksana untuk mengenal pasti pelaku.
Rusdi berkata demikian menerusi kenyataan ringkas, ketika diminta mengulas berkenaan penemuan baharu bangkai kucing dan anjing di sebuah gim di universiti tersebut.
Terdahulu, Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM) menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, penemuan itu telah dimaklumkan kepada Pejabat Keselamatan sebelum laporan polis dibuat.
“Saya sudah berhubung dengan Pejabat Keselamatan dan meminta mereka memperketatkan kawalan kemasukan ke kampus.
“Kami juga dalam proses untuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” kata kenyataan itu.
Kelmarin, Rusdi memaklumkan kepada Buletin TV3, pihaknya telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kes kematian kucing yang didakwa dibunuh dengan senjata tajam.
Selain akan memanggil aktivis haiwan, Shima Aris esok bagi memberi keterangan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Ia selepas dia mendedahkan hasil pemeriksaan perubatan vaterinar yang mendapati kematian kucing itu disahkan dibunuh menggunakan senjata tajam.
Rusdi turut memberi jaminan bahawa siasatan terperinci dan tindakan tegas akan diambil tanpa menyembunyikan fakta, walaupun mangsanya hanya seekor kucing.
Media sebelum ini melaporkan, kucing bernama ‘Lily’ ditemui mati dalam keadaan sadis apabila keempat-empat kakinya seperti dipotong dan mempunyai luka besar pada badan yang didakwa dibunuh menggunakan senjata tajam.
Susulan kejadian itu, sebanyak 22 kucing liar di UM diselamatkan oleh sukarelawan yang prihatin dengan nasib haiwan berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.