Tumpuan :
Nasional

Kematian kucing di UM : Polis sahkan kematian angkara serangan haiwan liar

Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Punca kematian kucing yang dilaporkan berlaku di Universiti Malaya (UM) pada 20 dan 25 Disember tahun lalu disahkan berpunca daripada serangan haiwan liar.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, ia hasil bedah siasat terperinci pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) ke atas dua bangkai kucing.

“Kematian kedua-dua kucing adalah akibat kecederaan parah pada bahagian toraks (dada) yang telah mengakibatkan luka dan pendarahan di bahagian jantung.

“Tiada sebarang unsur penderaan manusia pada kedua-dua bangkai tersebut,” katanya ketika sidang media di ibu negara, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu, Pengarah Bahagian Regulatori DVS, Dr Mohd Razli Abdul Razak, Pengarah Makmal Veterinar Zon Tengah DVS, Dr Mohd Shafarin Shamsuddin dan Ketua Seksyen Kebajikan Haiwan Bahagian Regulatori DVS, Dr Marzuna Md Yunus.

Jelasnya, bagi bangkai kucing yang ditemui pada 20 Disember tahun lalu, pihak DVS mendapati kesan koyak dan patah yang tidak sekata pada tiga kaki haiwan tersebut dan ianya bukan berpunca daripada sebarang objek tajam.

Manakala, bangkai kucing yang ditemui pada 25 Disember tahun lalu pula, pihak DVS mendapati haiwan itu mengalami patah tulang rusuk kiri selain koyakan pada jantung yang selari berpunca dari tusukan rusuk yang patah dan terdapat tiga luka koyakan yang berbeza pada bahagian perut.

Datuk Azry berkata sebanyak 11 rakaman percakapan telah diambil dalam kalangan pensyarah, penuntut, polis bantuan, aktivis haiwan dan doktor veterinar.

Sementara itu, pihak dan DVS akan mengadakan perbincangan lanjut bersama pihak pengurusan universiti bagi menyelesaikan kes tersebut terutama isu haiwan liar yang disyaki menyerang kucing-kucing di universiti itu.

Dalam pada itu, berhubung kes kematian kucing yang dilaporkan semalam, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

“Bangkai kucing telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi tujuan bedah siasat,” ujarnya.

Semalam, media melaporkan satu lagi kes kematian kucing yang didakwa ditemui dalam keadaan menyayat hati berdekatan dengan Fakulti Perubatan universiti berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini