Tumpuan :
Nasional

Kematian Kucing di UM: Polis akan panggil aktivis haiwan, jamin siasatan terperinci

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung kematian menyayat hati kucing di Universiti Malaya (UM) yang didakwa dibunuh menggunakan senjata tajam, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya memberi jaminan siasatan terperinci dilakukan, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap pelaku penganiayaan haiwan.

Beliau mengulas susulan laporan terbaharu diterima termasuk oleh aktivis haiwan seperti dilapor media sebelum ini.

“Arahan saya telah berikan untuk memastikan siasatan penuh dilakukan dan pihak terlibat tampil memberi kerjasama apabila dihubungi polis untuk beri keterangan.

”Saya memberi jaminan jika ada pihak yang membuat aniaya dengan binatang, kami akan mengambil tindakan.” katanya kepada Buletin TV3, di ibu negara, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa bersama wartawan Buletin TV3, Mas Zharif Zhafri Aziz Desa di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Rusdi turut mengingatkan bahawa keadilan akan ditegakkan tanpa diskriminasi.

“Jika laporan diterima, siasatan akan dilakukan secara adil tanpa menyembunyikan fakta, walaupun mangsanya hanya seekor kucing,” tegasnya.

Beliau mengimbas insiden sebelum ini di mana seorang tertuduh didapati bersalah menyeret seekor kucing peliharaanya secara paksa dengan mengikat leher haiwan itu menggunakan tali.

“Asalnya kita rujuk kepada pihak vaterinar, tetapi atas arahan saya untuk kita ambil balik kes itu untuk kita jalankan siasatan.

“Kemudian suspek dituduh di mahkamah, dan mahkamah menjatuhkan hukuman RM10,000 kepada tertuduh itu,” ujarnya.

Beliau turut menyeru masyarakat agar segera melaporkan sebarang perlakuan aniaya terhadap haiwan kepada pihak polis.

“Saya mohon orang ramai jika ada benda macam ini sebelum atau selepas buat kenyataan mesti terus buat laporan atau memberi maklumat segera kepada polis.” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, kucing bernama ‘Lily’ ditemui mati dalam keadaan sadis apabila keempat-empat kakinya seperti dipotong dan mempunyai luka besar pada badan, yang didakwa dibunuh menggunakan senjata tajam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini