Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Kecederaan yang dialami ke atas kematian kucing di sebuah pusat pengajian tinggi baru-baru ini, adalah disebabkan serangan anjing liar.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ia selepas hasil semakan pihaknya terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan yang terlibat.
“Hasil semakan rakaman CCTV di sekitar kawasan yang terlibat mendapati terdapat sekumpulan anjing liar yang telah bertindak menyerang kucing-kucing tersebut.
“Pihak Polis telah merujuk perkara ini kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan pengesahan kecederaan yang dialami ke atas kematian kucing-kucing ini adalah disebabkan serangan anjing-anjing liar,” katanya dalam satu kenyataan.
Walau bagaimanapun, katanya tiada saksi yang menyaksikan kejadian tersebut berlaku.
Datuk Rusdi juga mengesahkan, pihaknya menerima tiga laporan polis berhubung kejadian kematian kucing di sebuah pusat pengajian tinggi tempatan pada 17, 20 dan 21 Disember.
Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini bagi mengelakkan berlaku kegelisahan terhadap orang ramai.
Semalam, DVS dalam kenyataan mengesahkan menerima aduan dua kejadian berasingan kematian kucing di Universiti Malaya, baru-baru ini.
Kelmarin melibatkan empat ekor kucing ditemui mati di lokasi berbeza sekitar kampus itu.
Sebelum ini, aduan pertama diterima 17 Disember lalu mengenai kematian kucing di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi.
Hasil siasatan mendapati kejadian sebenar berlaku lebih awal iaitu pada 12 Disember.
DVS berkata, bangkai kucing yang ditanam di sekitar bangunan juga sudah terurai hingga menyebabkan proses bedah siasat tidak boleh dijalankan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.