TELUK INTAN: Kematian anggota tentera berpangkat Koperal, Allahyarham Mohammad Nasri Mohd Nasib di Hutan Simpan Belum di Gerik dipercayai tidak membabitkan sebarang unsur jenayah atau binatang buas.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mayat anggota dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berpangkalan di Kem Sri Bentong, Pahang itu ditemukan dalam keadaan sempurna.
Menurutnya, lokasi mangsa yang berusia berusia 33 tahun itu ketika ditemui jam 10.15 pagi semalam adalah di dalam hutan dan berdekatan sungai.
“Saya dimaklumkan mayat (ditemui) berada dalam kawasan hutan berhampiran dengan sungai.

“Keadaan mayat masih sempurna dan kita percaya tiada unsur jenayah ataupun binatang buas. Jadi kita tunggu hasil siasatan bedah siasat,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan kepada anak-anak yatim serta Maahad Tahfiz Wa Dirasah Al-Islamiah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, malam tadi.
Mohd Yusri berkata, mayat mangsa yang sebelum ini dibawa ke Hospital Gerik sudah dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk dibedah siasat.
Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Media sebelum ini melaporkan kehilangan mangsa ketika menjalankan tugas operasi bersama lima anggota lain kira-kira jam 5 petang pada Jumaat lalu.
Kehilangan mangsa dilaporkan kepada polis hanya jam 12.50 tengah malam Ahad meskipun usaha mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula hari sama mangsa hilang.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan malam tadi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohammad Nasri.
Mohamad menerusi catatan di Facebook turut mengucapkan takziah kepada isteri Allahyarham, Nurhayatul Husna Abdul Muttalib.
“Didoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman jua hendaknya, Amin,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membantu urusan membawa pulang jenazah Mohammad Nasri.