BAGAN SERAI: Polis menahan pasangan warga emas dan anak lelaki berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun, di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff, pihaknya menerima laporan daripada Klinik Kesihatan Bagan Serai kira-kira jam 7 malam semalam mengenai mangsa yang dihantar pasangan warga emas berusia 62 dan 57 tahun.
Difahamkam pasangan terbabit menyedari kanak-kanak yang dijaga anak lelakinya itu tidak sedarkan diri dan mengambil keputusan untuk membawanya ke klinik kesihatan berhampiran jam 6 petang semalam.
“Mangsa merupakan anak kepada jiran pasangan terbabit dan diambil oleh anak lelakinya yang berusia 26 tahun sejak Selasa lalu sehingga semalam untuk bermain.
“Suspek pernah berkahwin dan kini merupakan seorang duda.
“Hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati mangsa sudah tidak bernyawa dan terdapat kesan lebam dan luka melecur dibadannya,” katanya.
Menurutnya lagi mayat telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca dari pendarahan teruk di kepala akibat kesan hentakan benda tumpul.
Selain luka melecur seluruh badan akibat dari benda panas serta terdapat kecederaan pada lubang dubur mangsa.
“Susulan kejadian itu pasangan terbabit serta anaknya telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.