KUALA LUMPUR: Seramai 25 individu diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 13 November lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun siasatan lanjut diteruskan pihak polis bagi melengkapkan siasatan.
Beliau berkata, polis menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut termasuk elemen kecuaian dan sebagainya.
“Setakat ini, seramai 25 individu sudah diambil keterangan berkaitan kes terbabit.
“Pihak polis akan memanggil beberapa individu lagi bagi melengkapkan siasatan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Ditanya mengenai dakwaan ibu bapa mangsa bahawa kematian anak mereka akibat didera selain dipaksa melakukan pelbagai aksi, Hussein berkata, ia hanya andaian.
Katanya, empat saksi yang berada di lokasi kejadian pula mendakwa tiada aksi menunggang oleh jurulatih terbabit, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Terdahulu, Hussein dilaporkan berkata, kematian pegawai kadet Palapes UiTM berpunca daripada strok haba dengan kegagalan pelbagai organ.
Beliau dilaporkan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima laporan yang dibuat bapa mangsa pada 15 November menyatakan menerima panggilan daripada Hospital Shah Alam pada 10 November memaklumkan anaknya dimasukkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, pengadu dimaklumkan rakan anaknya bahawa kejadian berlaku ketika sesi latihan di padang kawad yang dikendalikan seorang jurulatih Palapes UiTM Shah Alam.
Kata beliau, hasil siasatan mendapati mangsa menyertai Palapes di UiTM Shah Alam sejak akhir Oktober 2024 dan kini sedang menjalani ujian kecergasan sebelum latihan asas Palapes bermula 2025.
Beliau dipetik berkata, pada hari kejadian, mangsa didenda melakukan tekan tubi oleh jurulatih kerana ketinggalan dalam sesi larian sebelum dilihat melompat-lompat lalu terjatuh dan rebah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.