Tumpuan :
Nasional

Kematian empat individu dipercayai kerana ambil pil ekstasi

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Oleh: Fatin Hanani Sahimi & Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Kematian empat individu yang menghadiri konsert ambang tahun baharu, Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway kelmarin dipercayai terlibat dalam pengambilan pil ekstasi.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya menerima enam laporan daripada Pihak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Kedua-dua hospital ini menerima tujuh pesakit yang mengalami simptom yang sama.

“Empat daripada mereka meninggal dunia seperti dilaporkan sebelum ini manakala dua lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang lagi sudah discaj dari hospital,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata kesemua individu itu hadir pada konsert berkenaan secara berasingan dengan rakan dan ahli keluarga masing-masing.

Setakat ini polis membuka kertas siasatan mati mengejut bagi mengenal pasti jika wujud sebarang unsur jenayah atau keracunan.

“Pihak polis telah membuka empat kertas siasatan mati mengejut (SDR) lanjutan kematian ini untuk mengenalpasti sebarang unsur jenayah atau keracunan.

“Sehingga kini, sebanyak enam percakapan saksi telah dirakam,” ujarnya.

Jelas beliau, pihaknya masih menunggu laporan analisis toksikologi bagi mengesahkan punca kematian.

Terdahulu empat individu iaitu dua lelaki dan dua wanita dilaporkan mati selepas menghadiri konsert berkenaan di Subang pada selasa lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini