SHAH ALAM: Polis merakam keterangan 19 individu berkaitan insiden kanak-kanak perempuan 10 tahun yang dipercayai meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, awal bulan ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keterangan itu membabitkan kumpulan doktor, ibu bapa mangsa, jiran, pihak sekolah dan beberapa saksi polis yang bertugas di pondok polis HTAR.
“Ada beberapa tindakan yang perlu diambil termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di kawasan hospital.
“Kita juga sedang mendapatkan laporan penuh forensik berkaitan bedah siasat yang dilakukan ke atas mangsa.
“Siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada pihak pendakwa raya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Ketika ditanya adakah polis mengesan unsur kecuaian sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak itu, Hussein memberitahu bahawa pihaknya belum dapat memberikan sebarang komen berikutan ia masih dalam siasatan.
Terdahulu media melaporkan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, Dea Maisarah hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR bersama bapanya pada 9 Julai sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.
Kes itu tular di media sosial apabila timbul dakwaan kanak-kanak itu lewat diberi rawatan dengan terpaksa menunggu lebih 40 minit sebelum mengalami sesak nafas, selain terpaksa diikat kerana meronta.
Pihak hospital juga didakwa membuat laporan palsu berhubung kematian kanak-kanak itu dengan mengatakan mangsa sudah meninggal dunia ketika dihantar untuk mendapatkan rawatan.
Bapa Dea Maisarah, Bada Hussein, 48, turut mendakwa, pengelasan kematian iaitu ‘Brought in Dead’ (BID) dalam sijil atau permit pengebumian adalah palsu dan tidak benar dan mahu punca sebenar disebalik kematian anaknya dirungkai.
Artikel berkaitan : Bapa mahu kebenaran disebalik kematian Dea Maisarah dirungkai