KUALA LUMPUR: Polis masih menyiasat kes kematian bayi lelaki berusia 11 bulan semasa dalam jagaan pengasuhnya di Muar, Johor pada 30 Oktober lalu sebagai mati mengejut sehingga menerima keputusan laporan perubatan dan kimia.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan pihaknya masih menunggu laporan perubatan dan kimia.
Sementara itu, bapa kepada bayi berkenaan, Syamsul Bakti Shor Kawi, 33, menuntut keadilan bagi kematian anaknya.
Menceritakan semula kejadian berkenaan, Syamsul berkata, isterinya, Nurul Hidayah Sharbani, 32, menghantar bayi mereka, Muhammad Arasy Lutfi, 11 bulan, ke rumah pengasuh 8.50 pagi 30 Oktober 2024.
“Sejam kemudian pengasuh menghubungi isteri dan memaklumkan anak dalam keadaan biru. Isteri kemudian minta pengasuh hantar anak ke klinik berhampiran sementara menunggu dia ke sana.
“Pengasuh kemudian memaklumkan pihak klinik minta anak dihantar ke hospital. Sebaik tiba di hospital, keadaan anak sudah biru dan badannya sejuk.
“Doktor yang merawatnya kemudian mengesahkan anak sudah meninggal dunia selepas melakukan asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) terhadapnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Syamsul berkata, semasa di hospital, pengasuh memaklumkan anak sedang diberi susu sebelum diletakkan di dalam buaian automatik.
“Namun, ceritanya berubah beberapa minggu kemudian memaklumkan dia meletakkan anak dalam keadaan tertiarap di ruang tamu bersama anaknya sebelum ditemui dalam keadan biru.
“Ceritanya berubah kali ketiga semasa datang ke rumah saya untuk merayu supaya tiada laporan dibuat terhadapnya berhubung kejadian itu dengan memaklumkan anak tiba-tiba menangis kuat sebelum ditemui dalam keadaan biru,” katanya.
Beliau yang juga pegawai tadbir pemasaran berkata, pengasuh berusia 30-an turut menyatakan anaknya masih hidup semasa dalam perjalanan ke hospital.
“Saya ada semak dengan pihak klinik yang merawat anak saya itu dan mereka memaklumkan nadi serta nafas anak sudah tiada ketika dibawa ke sana sebelum anak diminta dibawa ke hospital.
“Saya dan isteri mencari pengasuh di Facebook sebelum menemui kumpulan komuniti pengasuh di Muar. Kami memilih untuk menghantar anak ke rumah pengasuh itu kerana jarak ke rumahnya dekat iaitu kira-kira satu kilometer sahaja.
“Kami mula menghantar anak dengan pengasuh terbabit sejak Mac 2024 sebaik selepas isteri berpantang dengan bayaran RM400 sebulan,” katanya.
Menurutnya, dia kesal apabila tiada tindakan lanjut dikenakan terhadap pengasuh itu yang kini merancang untuk berpindah ke Ayer Hitam selepas rumahnya diperiksa oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, bulan lalu.
“Saya harap akan ada keadilan untuk kematian anak saya dalam kes ini,” katanya yang memaklumkan masih menunggu keputusan makmal kimia hasil bedah siasat anaknya itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.