
Oleh: Fareez Azman
KUALA LANGAT: Polis telah merampas enam jenis ubat berbentuk pil yang dipercayai berasal dari Jepun yang digunakan Allahyarham Akiko Okumura sebelum ditemui meninggal dunia pada pagi Jumaat lalu.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, kesemua ubat itu akan dirujuk kepada pakar untuk mengenal pasti kegunaannya terhadap mangsa.
“Kita lihat sama ada dia (Allahyarham) dalam kemurungan atau masalah perubatan dan sebagainya.
“Ada beberapa ubat yang kita rampas daripada rumah yang dipercayai diambil dari Jepun.
“Jadi kita akan dapatkan bantuan daripada kedutaan Jepun untuk mengenal pasti apa ubatan yang dia makan, yang mungkin ada kaitan dengan insiden ini.
“Ubat itu jenis pil, kita rampas enam jenis. Kita kena jumpa pakar ubat ini untuk kenal pasti adakah ubat biasa atau lain,” jelasnya.
Pihaknya masih menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk dakwaan terbaharu suami mangsa.
“(Dakwaan tergelincir) Ini kita ambil kira dalam siasatan kita,” katanya.
Setakat ini ujarnya enam individu termasuk suami dan anak kepada Allahyarham telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Lagi empat tu daripada pihak hospital yang melakukan post mortem dan saksi awam yang hadir di tempat kejadian ketika mayat ditemui.
Semalam, Hussein mengesahkan wanita warga Jepun berusia 50-an yang sebelum ini dilapor maut terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16 Subang Jaya pada Jumaat lalu adalah Akiko.
Kes diklasifikasikan sebagai SDR kerana tiada sebarang unsur jenayah ditemui setakat ini, namun polis akan membuat siasatan secara keseluruhan.
Jenazah Akiko selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya, Sabtu lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.