IPOH: Kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam di negara ini adalah berdasarkan merit terutamanya membabitkan kursus yang mendapat permintaan tinggi seperti perubatan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Sehubungan itu katanya, kegagalan mendapat tempat di IPT awam tidak sepatutnya menjadi isu perkauman ataupun diskriminasi terhadap mana-mana golongan.
“Kita tiada diskriminasi dari segi kemasukan pelajar, di mana Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun sudah umumkan bagi mereka yang mendapat semua ‘A’ dalam mata pelajaran, mereka akan diberikan tempat.
“Namun yang sering kali menjadi perkara dibahaskan adalah mereka memerlukan pilihan pertama di mana biasanya pilihan pertama itu membabitkan kursus-kursus yang kritikal iaitu perubatan, farmasi dan pergigian.
“Terdapat ribuan orang yang minta kursus berkenaan tetapi tempat yang ditawarkan contohnya bagi perubatan hanya sekitar 700.
“Jadi, yang dibahaskan adalah pilihan pertama itu mereka tidak dapat. Dan ini bukan hanya membabitkan masyarakat India malah ada pelajar-pelajar kaum Melayu yang dapat semua ‘A’ pun begitu juga apabila pilihan pertama, mereka tidak dapat,” katanya.
Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Konvensyen BN Negeri Perak 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M Ramasamy dalam konvensyen sama mahu supaya lebih ramai pelajar kaum India yang cemerlang memasuki IPT awam dan kuota memasuki matrikulasi ditambah.
Mengulas lanjut, Zambry berkata kementeriannya mempunyai dasar di mana adanya kes khas tertentu yang membuatkan pihaknya cuba membantu individu daripada keluarga tidak berkemampuan untuk belajar di IPT tanpa mengamalkan diskriminasi berdasarkan kaum.
“Kita sering melihat sebagai contoh kes istimewa yang mana seseorang daripada latar keluarga sangat miskin yang memerlukan tempat, namun tak dapat pergi belajar.
“Saya hendak maklumkan dari segi dasar kerajaan, kita pastikan mereka yang daripada keluarga tidak berkemampuan, akan dapat tempat. Kita tidak pandang bulu, sama ada mereka ini dari kaum mana,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.