Tumpuan :
Nasional

(KEMASKINI) 7 dilaporkan maut dalam nahas di Lebuhraya PLUS malam tadi

Bas persiaran yang terbabit dalam nahas lima kenderaan dan mengorbankan tujuh mangsa di Lebuhraya Utara Selatan dekat Alor Gajah, malam tadi. – FOTO: Ihsan Polis

ALOR GAJAH: Tujuh orang termasuk kanak-kanak berusia dua tahun, maut dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, nahas kira-kira jam 8.40 malam itu membabitkan sebuah bas ekspres, dua treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.

Katanya, siasatan awal mendapati sebuah treler dan bas masing-masing dipandu lelaki berusia 31 dan 56 tahun dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, tayar hadapan kanan treler berkenaan tercabut dan berada di tengah-tengah lebuh raya.

“Kemalangan berlaku apabila sebuah bas terlanggar tayar itu dan pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Bas terbabit kemudian berlanggar dengan Perodua Bezza, menyebabkan kereta itu terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan.

“Bas itu kemudiannya bertembung dengan sebuah lagi treler dan sebuah Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, kejadian menyebabkan pemandu bas dan seorang penumpang serta pemandu Toyota Estima bersama empat penumpangnya disahkan maut di tempat kejadian.

Katanya, mayat semua mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Semua kenderaan yang terbabit ditahan untuk dibawa ke PUSPAKOM bagi pemeriksaan kenderaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ashari berkata, setakat ini lima mangsa yang maut sudah dikenal pasti iaitu pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, dari Skudai, Johor; pemandu Toyota Estima, Khairul Ikhwan Mazupi; isterinya, Fadzlenna Ramli, 32; anak bongsu mereka, Muhammad Umar, dua tahun; dan bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66.

Katanya, identiti seorang penumpang bas dan seorang lagi penumpang Estima yang maut belum dikenal pasti.

Dua lagi anak pasangan itu, Muhammad Uwais Al-Qarni, tujuh tahun dan adiknya, Nur Sofea Humaira, empat tahun, dilaporkan cedera.

Dua beradik itu masing-masing dirawat di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Melaka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini