comscore
Tumpuan :
Nasional

KEMAS komited lahirkan ramai Huffaz cilik

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (dua kanan) pada majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat KEMAS Negeri Terengganu Universiti Malaysia Terengganu (UMT). – FOTO: NSTP

KUALA NERUS: Program Pra Tahfiz yang dilaksanakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bukanlah satu agenda politik sebaliknya ia adalah agenda nasional kerajaan untuk melahirkan ramai huffaz cilik di seluruh negara pada masa akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program itu perlu disokong oleh semua pemimpin Islam dan semua individu yang beragama Islam tanpa mengaitkannya dengan politik.

Menurutnya, Program Pra Tahfiz dilaksanakan Kemas bertujuan melahirkan huffaz cilik yang mahir dalam bacaan dan pengajian ilmu al-Quran serta pengajian Islam.

“Ini bagi memastikan kesucian dan kesahihan al-Quran terus terpelihara dan dipelajari dengan mendalam oleh generasi kita.

“Oleh itu, kita semua harus ‘buta warna’ untuk menyokong usaha yang dilakukan kerajaan ini.

“Kita ketepikan warna-warna politik. Ini bukan agenda politik, ini adalah agenda agama dan nasional yang perlu disokong pemimpin Islam dan umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis pelancaran Program Pra Tahfiz peringkat Kemas Negeri Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu di sini hari ini.

Untuk rekod, dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober tahun lepas, Kerajaan Perpaduan telah memperuntukkan RM20 juta bagi melaksanakan Program Pra Tahfiz Kemas.

Program yang dilaksanakan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu disertai sebanyak 10,843 Tabika Kemas di seluruh negara dengan kurikulum sedia ada akan diperkukuh dan dimasukkan program baharu agar ilmu berkaitan akidah, ibadah, solat dan keagamaan dapat diterapkan di peringkat tabika.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Program Pra Tahfiz itu juga adalah landasan terbaik yang dilaksanakan Kemas untuk menanamkan kecintaan terhadap al-Quran sejak kecil, agar kanak-kanak itu membesar dengan nilai-nilai murni yang terpahat dalam jiwa mereka.

“Kita bimbang jika dilakukan pada peringkat umur yang agak lewat, kerana pengaruh teknologi sangat terkesan kepada kanak-kanak ketika ini.

“Kita lihat seawal dua tahun, pendekatan yang digunakan oleh ibu bapa bila anak-anak meragam dan menangis, jawapan untuk mendiamkan mereka adalah dengan memberi handphone (telefon bimbit).
“Akhirnya anak-anak akan main game, tidak diajar dan dibentuk dengan pedagogi pengajaran al Quran.

“Kekhuatiran kita ialah teknologi yang canggih apatah lagi dengan AI (artificial intelligence), kita khuatir anak akan lakukan penyaluran yang salah, kononnya cari maklumat tapi akhirnya pergi ke aplikasi yang negatif,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini