Tumpuan :
Nasional

[KEMAS KINI] Tanah runtuh : 29 penghuni diarah pindah, empat kereta tertimbus

KUALA LUMPUR: Susulan kejadian tanah runtuh lewat petang semalam,  29 penghuni di sembilan rumah di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14, di Puchong dekat sini, sudah diarah berpindah kerana kediaman mereka berhampiran kawasan bencana.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan, berkata satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Laman Puteri 3, Bandar Puteri, Puchong.

Hujan lebat petang semalam menyebabkan tanah runtuh di Taman Wawasan, Puchong. FOTO: Ihsan polis

“Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 malam tadi disebabkan hujan lebat yang tidak berhenti bermula jam 5.45 petang sehingga jam 7.30 malam tadi menyebabkan berlaku pergerakan tanah.

“Kejadian tanah runtuh turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

FOTO: Tangkap layar video tular

Katanya, empat kenderaan yang tertimbus itu masing-masing sebuah Honda Jazz, Nissan Skyline, Honda City dan Naza Citra.

Anbalagan berkata, setakat ini semua sembilan kediaman itu sudah dikosongkan dengan lapan orang daripada satu keluarga berpindah sementara ke PPS Dewan Serbaguna MBSJ, manakala yang lain menumpang di rumah saudara masing-masing.

“Kita turut membuka Pusat Kawalan tempat kejadian (PKTK) di Jalan Wawasan 3/9 dan pemantauan di lokasi kejadian terus dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya.

Katanya, selain pihak polis, beberapa agensi turut melakukan pemantauan dan kawalan di lokasi termasuk pasukan bomba, Jabatan Kejuruteraan MBSJ, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini