KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kenyataan dibuatnya mengaitkan pemimpin DAP dengan Chin Peng dan Lee Kuan Yew.
Peguam Siti Mastura, Ahmad Amzar Ahmad Azlan berkata, ahli parlimen itu memberi kerjasama penuh kepada polis bagi membantu siasatan.
“Kami dipanggil ke Bukit Aman berkenaan satu ucapan pada majlis kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Kemaman dan kita beri kerjasama dan jawab semua soalan.
“Kami sudah memberi bahan-bahan rujukan yang kita kumpul dan serahkan kepada pihak polis sama ada relevan, berkait atau tidak kita serah kepada polis untuk siasat,” katanya ketika ditemui selepas selesai dirakam percakapan di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini hari ini.
Siti Mastura hadir di sini kira-kira jam 11 pagi dan keluar pada jam 12.30 tengah hari tadi.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis akan merakam keterangan Siti Mastura pada di Bukit Aman.
Setakat ini enam laporan telah diterima berkaitan kes sehingga jam 10 pagi semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
10 November lalu, Guan Eng memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura kerana mendakwa beliau memiliki hubungan keluarga dengan pemimpin komunis Chin Peng, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, dan Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew.
Guan Eng memberi masa dua hari (hingga Khamis lalu) untuk Siti Mastura mengemukakan bukti berkenaan dakwaan itu, selepas tempoh 48 jam diberikan, beliau memulakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen itu.