Tumpuan :
Nasional

Kemarau Papar: Task Force Kinarut ditubuhkan

Pejabat Ahli Parlimen Papar menyalurkan bantuan bekalan air kepada penduduk terjejas di seluruh Papar sepanjang Aidilfitiri sejak 1 Syawal lagi hingga kini.

Oleh: Safwan Sawi

PAPAR: Satu “Task Force Kinarut” telah ditubuhkan melibatkan kawasan paling kritikal sekitar kawasan Kinarut, di sini susulan krisis bekalan air di daerah itu kembali kritikal.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia terutama membabitkan kawasan bangunan bertingkat antaranya di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Kinarut Ria dan PR1MA Residensi Kinarut Selatan yang berdepan gangguan air sudah hampir setahun.

“Di pihak jabatan bekalan air ada pendekatan sekarang telah ditubuhkan satu task force untuk kawasan Kinarut melihat bagaimana boleh sumber air itu boleh disalurkan untuk meminimalkan isu yang terkait bagi kawasan-kawasan tersebut.

“Jadi kita akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa kita tahu cabaran tetap tangki besar mana sekalipun hakikatnya kalau tekanan itu rendah maka air tidak boleh untuk sampai ke tingkat-tingkat yang tinggi jadi saya amat bersimpati dengan para penduduk di kawasan perumahan bertingkat ini,” katanya

Datuk Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup berkata demikian ketika operasi menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk terjejas di Kampung Sumbiling Baun, di sini.

Tegasnya beliau tidak akan sesekali membiarkan masalah itu berterusan dan pendekatan efektif dirangka bersama jawatankuasa pengurusan kawasan terlibat.

Bersimpati dengan keadaan itu beliau turut meminta penduduk bersabar tiga tahun lagi naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon untuk siap sepenuhnya yang sepatutnya dilaksanakan pada 2019 dan siap 2022.

“Kawasan -kawasan perumahan yang bertingkat ini kondo apartmen ini terus menghadapi masalah gangguan bekalan air saya fikir kita tidak boleh membiarkan kita kena merangka pendekatan-pendekatan tertentu apa kaedah salah satu cabaran kita adalah berurusan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan kepada pangsapuri, kondo, apartmen ini supaya kita dapat memastikan kita menambah baik bekalan sedia ada masyarakat di kawasan ini

“Itu yang sebenarnya sukar untuk saya sebut memang satu perkara yang amat menyedihkan kerana projek ini sepatutnya siap 2022, 2019 berjalan dan akhirnya hanya boleh berjalan pada Ogos 2023 lepas selepas saya merayu kepada Ketua Menteri, Menteri Ekonomi di Persekutuan kerana melibatkan pinjaman mudah saya melihat dalam tempoh tiga tahun ini,” katanya.

13 Mac lalu, bencana kemarau diisytiharkan di daerah Papar berikutan masalah air kritikal apabila LRA utama terpaksa ditutup kerana tahap kemasinan air sungai papar mencecah 6,000 miligram per liter (MGL) berbanding kadar maksimum boleh dirawat iaitu 120 (MGL).

Situasi itu pulih seketika beberapa hari menjelang Aidilfitri berikutan hujan lebat yang meningkatkan paras air Sungai Papar sekaligus membolehkan LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau yang ditutup sejak 17 Februari lalu beroperasi semula.

Namun krisis air di daerah itu kembali kritikal sejak Aidilfitri kedua, Khamis lalu berikutan penutupan semula LRA berkapasiti 10 juta liter sehari (MLD) itu selepas air Sungai Papar di muka sauknya kembali mencatat tahap kemasinan yang tinggi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini