comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemarau Papar: LRA Kogopon beroperasi semula selepas dua hari paip utama pecah

Bahagian paip utama yang pecah telah dikenal pasti, paip sepanjang 5km dengan saiz 48 inci ini dalam proses welding sebelum ini. – FOTO: Armizan Mohd Ali/ Facebook

Oleh: Safwan Sawi

PAPAR: Sebahagian penduduk di sini dijangka kembali menerima bekalan air bersih menerusi paip masing-masing hari ini selepas Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon, di sini, beroperasi semula lewat malam tadi.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, loji yang membekalkan 35 juta liter sehari (MLD) itu terpaksa ditutup sejak dua hari lalu selepas paip utamanya pecah.

Bagaimanapun, ujarnya kapasiti air yang dibekalkan loji itu belum mampu menampung keperluan keseluruhan pengguna di daerah ini selagi LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau belum beroperasi semula.

Jelasnya, setakat ini hanya loji yang dikendalikan syarikat konsesi air, Jetama Sdn Bhd di Limbahau dapat beroperasi separuh daripada kapasiti asal dengan pengeluaran air bersih sebanyak lima MLD berbanding 10 MLD sebelum ini.

“Lewat malam semalam LRA Kogopon telah mula beroperasi semula setelah dua hari ditutup kerana paip utama pecah. Sekarang kapasiti air terawat kita di Papar hanya 35 MLD (LRA Kogopon) dan lima MLD (LRA Jetama), iaitu total 40 MLD.

“Kita masih kekurangan daripada biasa sebelum bencana kemarau iaitu kekurangan 15 MLD, masing-masing 10 MLD di LRA EWSS Limbahau dan lima MLD iaitu separuh daripada kapasiti LRA Jetama.

“Itu sebabnya masih ada kampung, taman atau kawasan yang belum menerima air di saluran paip khususnya yang berada di hujung jajaran saluran penghantaran seperti Kampung Kuala, Sekayan, Bundusan, Sungai Padang, Sri Tanjung, Kelanahan dan banyak tempat di Kinarut, selain taman-taman perumahan,” katanya di laman Facebook beliau, hari ini.

Masalah bekalan air yang dihadapi penduduk daerah Papar berpunca daripada penutupan LRA Limbahau berikutan tahap kemasinan air yang tinggi dari muka sauk di Sungai Papar disebabkan kemarau dan ketiadaan hujan yang berlarutan sejak kira-kira sebulan lalu.

Armizan berkata, hujan penting untuk membolehkan kadar kemasinan air mentah di muka sauk LRA EWSS Limbahau dan LRA Jetama Limbahau turun ke paras yang dibenarkan untuk rawatan air iaitu 120 miligram per liter (mgL) berbanding lebih 5,000 mgL ketika ini.

Sementara itu, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), berkata bagi penduduk yang belum menerima bekalan air paip, beliau meminta pasukan penghantaran air di DUN Kawang, Limbahau dan Pantai Manis untuk menyemak lokasi yang masih terjejas.

“Saya sudah mengarahkan mereka untuk menyemak mana-mana lagi lokasi yang belum mendapat bekalan air di paip untuk membolehkan perancangan penghantaran air yang lebih tersusun sehingga kedua-dua LRA (EWSS dan Jetama) boleh beroperasi semula,” katanya.

FOTO: Armizan Mohd Ali/ Facebook

Mengulas lanjut, Armizan berkata masalah yang dihadapi penduduk Papar ketika ini tidak berlaku jika Projek Naik Taraf LRA Kogopon daripada 40 MLD kepada 80 MLD berjalan seperti dirancang pada 2019 (RP4-RMKe-11) dan siap pada 2022.

“Projek itu akan membolehkan kita mempunyai rizab margin yang lebih di Papar, biar kemarau, rizab yang ada masih boleh menampung keperluan.

“Syukur kita telah dapat usaha sehingga projek berjalan bermula pada Ogos 2023 dan hanya akan siap pada Ogos 2026. Siapa mahu tengok progres projek, boleh ‘join’ saya buat tinjauan hujung April nanti – kita buat jamuan raya sana sambil lihat prestasi kontraktor.

“Apapun, kami akan usaha sehabis baik untuk menghantar air ke kawasan-kawasan terkesan sehingga bekalan air LRA EWSS dan LRA Jetama beroperasi kembali sepenuhnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini