ISKANDAR PUTERI: Pentingnya penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan anggota polis terutama bagi anggota yang bertugas di kawasan pesat membangun termasuk lokasi tumpuan pelabur asing seperti Iskandar Puteri.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superitendan Ibrahim Mat Som, tidak dinafikan penguasaan Bahasa Inggeris masih lemah dalam kalangan segelintir anggota polis hingga berdepan kesulitan ketika berkomunikasi dengan pelancong asing.
Justeru katanya golongan berkenaan seharusnya merebut peluang untuk menguasai bahasa antarabangsa itu secara berperingkat.
Seiring itu, pihaknya menyambut baik inisiatif Johor English Language Teaching Association (JELTA) yang menganjurkan kelas Bahasa Inggeris secara percuma bagi golongan berkenaan selama empat bulan.
“Bagi peringkat permulaan seramai 26 anggota polis yang menyertai kursus berkenaan dan daripada penguasaan ‘zero’ kini mereka mampu mencapai 30 peratus.
“Saya yakin mereka lebih selesa apabila berkomunikasi dengan pelancong asing, pelabur selepas ini memandangkan kawasan ini ramai pelabur asing, syarikat asing dan kita memerlukan anggota yang mengetahui asas Bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau berkata, penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan golongan itu akan dipertingkatkan daripada semasa ke semasa dan diperluas dalam kalangan lebih ramai anggota.
“Mungkin pada masa depan kita akan cuba mempelajari bahasa lain,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Penyertaan Kursus Bahasa Inggeris di Dewan Orkid IPD Iskandar Puteri di sini hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.