comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemampuan Kerajaan Perpaduan faktor peralihan sokongan kepada PM

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kemampuan Kerajaan Perpaduan mentadbir negara dilihat menjadi antara faktor empat Ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyokong secara terbuka pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, langkah wakil rakyat tersebut disifatkan tindakan paling sukar pernah dilakukan mereka sepanjang terlibat dalam arena politik negara.

“Sudah semestinya tempoh masa yang panjang mereka perlukan untuk memutuskan pendirian mereka dan saya yakin sebenarnya ini dilakukan demi untuk membela kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.

“Pada waktu yang sama, saya juga melihat bahawa mereka menilai prestasi kerajaan yang hampir satu tahun ini mampu untuk memberikan kebaikan bukan sahaja kepada negara tetapi juga kepada rakyat keseluruhan di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Terdahulu Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim apabila mengisytiharkan memberi sokongan penuh kepada kepemimpinan Perdana Menteri.

Pada 12 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memutuskan untuk menyatakan sokongan kepada Anwar selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak.

Ia diikuti oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman yang menyatakan sokongan kepada Anwar dan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Mohd Noor pada 31 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Dr Mohammad Tawfik percaya tindakan empat Ahli Parlimen berkenaan adalah taktik dan strategi politik untuk mendapatkan dana dari kerajaan bagi disalurkan ke kawasan masing-masing.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM) itu yakin tindakan mereka tidak sehingga mengkhianati perjuangan parti kerana tidak bertentangan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya melihat dengan skop lebih luas kerana mereka mengambil tindakan sedemikian memikirkan tentang kehidupan rakyat, peruntukan yang mereka perlukan dan apa sahaja yang berlaku ataupun tindakan tatatertib hanya melibatkan bagaimana mereka dikenakan tindakan disiplin dalaman parti”.

“Tetapi kita lihat mereka terus kekal dan setia bersama parti dan mereka tidak melanggar mana-mana undang-undang ataupun peruntukan dalam Akta Antilompat Parti 2022,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut yakin beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang akan mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri selepas melihat kesan tindakan tersebut yang memberikan manfaat khususnya meredakan dan melegakan kehidupan rakyat.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini