KUALA TERENGGANU: Banjir gelombang ketiga di Terengganu bertambah buruk apabila Kemaman menjadi daerah terbaharu membuka pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini.
PPS pertama di daerah Kemaman dibuka di Pejabat Ladang Jernih, Kampung Sungai Mas dan menempatkan 34 mangsa daripada 10 keluarga.
Sehingga jam 10 malam tadi, lima lagi PPS masing-masing satu di daerah Dungun, dua di Setiu dan Hulu Terengganu (dua) dibuka.
PPS terbaru dibuka kira-kira jam 7.30 malam di daerah Dungun adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Delong yang menempatkan dua mangsa daripada satu keluarga.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) negeri, dua PPS terbaru di daerah Setiu dibuka di Surau Mak Bakas Pelong serta Balai Raya Kampung Besut dan menempatkan 44 mangsa daripada tujuh keluarga.
Dua lagi PPS dibuka di Surau Kampung Lubuk Batu dan di Dewan Kampung Kepah, Hulu Terengganu dengan menempatkan 23 mangsa daripada sembilan keluarga.
Berdasarkan laporan itu, jumlah keseluruhan mangsa yang menghuni di 25 PPS, termasuk di daerah Kemaman adalah 967 orang daripada 293 keluarga.
Daerah Dungun mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 480 mangsa daripada 130 keluarga di 10 PPS, diikuti daerah Hulu Terengganu seramai 334 orang daripada 124 keluarga di lapan PPS.
Jumlah mangsa banjir di daerah Setiu juga meningkat apabila 107 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di lima PPS.
Manakala Marang kekal dengan jumlah 12 orang daripada tiga keluarga di satu PPS.