Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu berdepan detik cemas selepas kenderaan dipandunya dilanggar sebuah lori sebelum berpusing dan melanggar kenderaan lain di Kilometer 13 Jalan Bukit Changgang-KLIA, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 7.54 malam.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori jenis Sinotruck warna biru berhenti di lampu isyarat. Semasa lampu isyarat bertukar dari merah ke hijau, pemandu lori itu bergerak dan memberi isyarat ke kiri untuk mengubah haluan ke lorong sebelah kiri.
Seorang pemandu berdepan detik cemas selepas kenderaan dipandunya dilanggar sebuah lori sebelum berpusing dan melanggar kenderaan lain di Kilometer 13 Jalan Bukit Changgang-KLIA, semalam.
Video: Tular di media sosial pic.twitter.com/xFZvp9YpUl
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 21, 2025
“Sedang bergerak untuk menukar lorong, lori jenis tersebut telah melanggar bahagian sisi belakang sebelah kiri kereta jenis Proton Saga warna putih menyebabkan kenderaan itu berpusing lalu melanggar bahagian sisi hadapan sebelah kiri sebuah lagi lori jenis Scania warna putih,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambahnya, bagaimanapun pemandu kenderaan terbabit lelaki berusia 30-an serta pemandu kedua-dua lori yang terlibat masing-masing berusia 60-an dan 40-an tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelasnya, ketiga-tiga pemandu berkenaan telah hadir membuat laporan polis dan dirakam keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kuala Langat.
Kes disiasat dibawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Video kemalangan berdurasi 34 saat yang dirakam dari kamera papan pemuka sebuah kenderaan itu tular di laman sosial memaparkan Proton Saga berkenaan berpusing selepas dilanggar dari sisi belakang oleh sebuah lori.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.