AMPANG JAYA: Polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemalangan mengorbankan penunggang superbike Ducati akibat terjatuh dari jejambat Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE), di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, setakat ini suspek yang menunggang motosikal melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan itu masih diburu.
Artikel berkaitan: Polis minta saksi kemalangan maut di SUKE tampil beri maklumat
“Rakaman CCTV kejadian sedang diteliti dan dihantar ke makmal forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Ampang semalam dan punca kematian kerana kecederaan berganda akibat kemalangan jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, penunggang motosikal Ducati Panigale iaitu lelaki warga emas berusia 60-an disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Artikel berkaitan: Penunggang motosikal maut elak motosikal lawan arus
Kemalangan berlaku apabila mangsa cuba mengelak sebuah motosikal ditunggang secara melawan arus di bahu jalan kanan.
Mangsa mengalami kecederaan parah di kaki ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan SMART Sungai Klang dan disahkan meninggal dunia.