
Oleh: Haziq Abdullah dan Azreena Izaham
KUALA LUMPUR: Keadaan salah seorang daripada empat pelajar Malaysia yang terlibat dalam kemalangan di Jordan dilaporkan kritikal.
Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah, Muhammad Ammar Baihaqi Sayuti, ketika dihubungi Buletin TV3 hari ini.
Menurutnya pelajar tahun kedua jurusan Bahasa Arab dan Kesusasteraan di Universiti Mu’tah, iaitu Fatimah Nuha, kini sedang menerima rawatan rapi.
“Berdasarkan makluman daripada doktor, Fatimah mengalami tiga tulang rusuk patah serta pendarahan yang serius di bahagian otak dan organ dalaman,” katanya.
Difahamkan, Fatimah terpaksa dipindahkan ke hospital lain berikutan kekurangan pakar bagi merawatnya di Mu’tah.
“Dia memerlukan pembedahan segera dan perlu dipindahkan dari Mu’tah ke Amman, ibu negara Jordan, kerana kekurangan pakar.
“Proses pemindahan juga memerlukan kelulusan serta bantuan daripada pihak kedutaan,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, ibu bapa Fatimah Nuha dilaporkan akan berlepas ke Jordan malam ini.
“Saya difahamkan ibu bapanya akan tiba di Jordan esok dan mereka dijadualkan berlepas pada jam 9.30 malam ini,” katanya lagi.
Sementara itu, tiga lagi pelajar yang turut terlibat dalam kemalangan itu ialah Muhammad Zaqwan Azhar Masjudin, Muhammad Ilham Dzurllkanian Zulkarnian dan Sumayya Azamuddin.
Muhammad Zaqwan dan Muhammad Ilham, yang merupakan pelajar tahun pertama jurusan Fiqh Wal Usul, mengalami trauma serta keretakan pada bahagian tulang belakang.
Sementara itu, Sumayya, yang merupakan pelajar tahun kedua jurusan sama, dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.
Empat pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Mu’tah itu terbabit dalam nahas jalan raya di Jordan, kelmarin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.