comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemalangan melibatkan dua kenderaan, tiga beranak cedera 

Foto ihsan bomba

SEKINCHAN: Kemalangan membabitkan dua kenderaan di Parit 7, Sungai Leman, di sini, hari ini menyebabkan tiga beranak cedera.

Mangsa ialah Ibrahim Selamat, 50, yang memandu kereta Proton Iswara diikuti bapanya, Selamat Junaik, 86 dan ibunya, Rafidah Pembekal, 79.

Manakala pemandu Perodua Viva, Nurul Farizah Mohamad Ja’afar, 26, pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.21 pagi.

Beliau berkata, sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikejarkan ke tempat kejadian.

“Tiba di lokasi, anggota bomba mendapati semua mangsa yang berada dalam kedua-dua kereta tidak tersepit.

“Pemandu Proton Iswara luka di bahagian belakang manakala ibu bapanya hanya sakit dada,” katanya.

Ahmad Mukhlis berkata, kedua-dua kereta itu dipercayai dalam perjalanan ke Sabak Bernam dan punca kemalangan disebabkan Perodua Viva melanggar belakang Proton Iswara.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Selepas itu, anggota bertugas mengambil masa kira-kira 47 minit bagi melakukan kerja-kerja pembersihan jalan raya sebelum bertolak pulang,” katanya.

Loading...
Terkini