comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemalangan maut tentera: Panglima Tentera Darat dan warga TDM zahir ucapan takziah

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tiga anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang maut dalam satu kemalangan di kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), dekat Gurun pagi tadi.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Sel Perhubungan Raya Markas TDM.

“Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain dan seluruh warga TDM menzahirkan rasa dukacita serta mengucapkan takziah buat waris dan keluarga anggota yang berkenaan atas kehilangan mengejut ini.”

“Sesungguhnya ini merupakan satu kehilangan yang besar buat TDM serta berdoa agar waris dan keluarga anggota dikurniakan kesabaran dan ketabahan untuk menerima ketentuan Allah S.W.T.”

Mereka yang terlibat di dalam kemalangan dan disahkan meninggal dunia adalah Sarjan Rozali Abdul Rani, Koperal Mohd Asri Idris dan Lans Koperal Mohd Hafiz bin Haris.

Ketiga-tiga anggota berkenaan disahkan dari Pasukan 3 Rejimen Sempadan (RS) yang berpengkalan di Kem Pengkalan Hulu, Perak yang sedang dalam konvoi melibatkan 3 buah kenderaan 3 Ton menuju ke Markas 30 Briged, Kem Bukit Cowder, Kangar Perlis untuk mengambil anggota yang menjalani Eksesais Satria Gagah.

Namun demikian, salah sebuah kenderaan konvoi berkenaan telah mengalami kerosakan yang menyebabkan mereka terpaksa berhenti di sebelah haluan kiri lebuh raya sebelum dirempuh oleh sebuah trailer di lokasi kemalangan.

Justeru, semua pihak diminta agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi serta tidak menyiarkan gambar mangsa kemalangan bagi menghormati mangsa dan pihak keluarga.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa pihak TDM juga akan menubuhkan Lembaga Siasatan Dalaman bagi menyiasat kes kemalangan ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini