comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemalangan maut di Persiaran Saujana Impian, pemandu lori diminta tampil bantu siasatan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Polis meminta pemandu lori yang terbabit kemalangan maut membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Persiaran Saujana Impian menghala ke arah Kajang, semalam tampil membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata setakat ini pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan itu belum tampil membuat laporan polis.

Menurut laporan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian, Aqil Mawardi, 17, maut dalam kemalangan kira-kira jam 2.15 petang semalam.

Nahas itu berlaku ketika mangsa dari Taman Prima Saujana dalam perjalanan menghadiri kelas tambahan di sekolah apabila motosikal ditunggangnya kemalangan dengan sebuah lori dari arah Semenyih-Cheras, berhampiran lampu isyarat Saujana Impian.

Anak kepada Timbalan Pengarah 1 Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, Mawardi Che Man itu maut di tempat kejadian selepas dilaporkan cedera parah di bahagian kepala.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, katanya polis memohon pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan itu untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Kita juga pohon saksi kejadian atau mereka mempunyai maklumat mengenai kejadian ini atau pemilik rakaman dashcam semasa kejadian untuk tampil membantu siasatan polis.

“Mereka boleh menghubungi balai polis yang berdekatan atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-3268496,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini