CHUKAI: Nahas membabitkan Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) dengan sebuah lori di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabur berhampiran Hentian Sebelah Bandar Cheneh Baru, dekat Kemaman, petang tadi mengorbankan tiga sekeluarga termasuk bayi 12 bulan.
Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 2.05 petang membabitkan sebuah kenderaan jenis Naza Citra dengan sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang maut ialah Ammir Hussain Mohd, 38, dua anaknya Ammzar Huzzair Husszair Al Hussin, 4 dan Ammzar Husnayan Al Hussien 12 bulan.
“Mereka yang maut iaitu, pemandu MPV terbabit yang tersepit di tempat duduk manakala dua lagi mangsa iaitu penumpang kenderaan itu disahkan meninggal di Hospital Kemaman.
“Ketika kejadian, lori terbabit dalam perjalanan dari arah Mak Lagam menghala ke Ladang Perwira Cheneh sementara MPV terbabit menghala dari Mak Chili menghala ke Cheneh,” katanya.
Hanyan berkata, kemalangan dipercayai berlaku, apabila lori terbabit dipercayai telah hilang kawalan dan memasuki laluan MPV terbabit sebelum kedua-dua kenderaan itu bertembung.
Nahas membabitkan Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) dengan sebuah lori di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabur berhampiran Hentian Sebelah Bandar Cheneh Baru, dekat Kemaman, petang tadi mengorbankan tiga sekeluarga. pic.twitter.com/Z0WGIE28cP
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 15, 2023
Hanyan berkata, pemandu MPV yang tersepit dikeluarkan anggota Bomba yang terpaksa dipanggil ke tempat kejadian.
“Tiga penumpang belakang yang cedera berjaya dikeluarkan orang awam sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Kemaman.
“Bagaimanapun dua daripada tiga penumpang MPV itu disahkan meninggal dunia di Hospital Kemaman,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikuti Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu lori terbabit ditahan untuk menjalani ujian saringan air kencing dan akan dibawa ke Mahkamah Kemaman esok untuk mendapat perintah tahanan reman,” katanya.