BENTONG: Pemandu bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan di KM16.5, jalan turun Genting-Bentong menghala ke Kuala Lumpur pada jam 10.43 pagi, hari ini tidak memiliki lesen.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihak polis telah membuat semakan ke atas pemandu bas berusia 32 tahun tersebut turut mendapati terdapat 27 saman lampau yang melibatkan pelbagai jenis kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Kemalangan itu membabitkan dua rakyat China meninggal dunia di tempat kejadian dan 19 yang lain cedera setelah bas persiaran yang mereka naiki terbalik dalam kemalangan itu.
“Seramai 19 penumpang warganegara asing yang berada di dalam bas terlibat, manakala tiga warganegara tempatan yang terdiri daripada seorang pemandu bas, seorang pembantu dan seorang pemandu pelancong berjaya dibawa keluar daripada nahas tersebut.
“Seramai 13 mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur manakala enam mangsa yang lain dibawa ke Hospital Bentong.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi WanIsa berkata, setiba di tempat kejadian pada jam 10.57 pagi dalam jarak perjalanan 17 kilometer dari Bentong, ketua operasi mengesahkan kemalangan sebuah bas terbalik berlaku.
“Didapati 19 penumpang bas persiaran itu terselamat, manakala dua lelaki warga China meninggal dunia.
“Di dalam bas tersebut terdapat sembilan lelaki dewasa, tujuh wanita dewasa dan tiga lelaki warganegara tempatan tercedera dan selamat dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya.
Katanya, seramai 14 anggota bomba melakukan penugasan itu dengan menggunakan dua jentera dan sebuah ambulan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.