Tumpuan :
Kemalangan

Kemalangan bas persiaran dan lori ais, 5 cedera

Foto : NSTP

ALOR GAJAH: Nahas membabitkan bas persiaran dan lori muatan ais di kilometer 200 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, awal pagi tadi mengakibatkan lima cedera.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fadil Saidin berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 1.47 pagi.

Katanya, sepasukan sembilan pegawai dan anggota kemudian ke lokasi bagi memberikan bantuan dan tiba di lokasi jam 2 pagi.

“Sejurus tiba didapati kemalangan membabitkan bas persiaran dinaiki 17 penumpang dengan lori muatan ais.”Lima mangsa mengalami kecederaan iaitu tiga lelaki dan seorang wanita penumpang bas dan pemandu lori ais.

“Semua mangsa sudah dikeluarkan daripada kenderaan sebelum pasukan bomba tiba dan mereka yang cedera dibawa ke Hospital Melaka dengan ambulans KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya.

Mohd Fadil berkata, 14 penumpang lain tidak cedera dan pihaknya turut membersihkan tumpahan minyak dan sisa kemalangan di lokasi dan operasi selesai jam 3 pagi.

Sementara itu, saksi kejadian, R Vikkines, 27, berkata, sebelum kemalangan, bas persiaran itu memotong lori dipandu rakannya di lorong kiri.

“Tiba-tiba bas itu terbabas ke kiri selepas melanggar lori ais di hadapannya sebelum masuk semula ke lebuh raya.”Saya rasa bas itu dipandu sekitar 100 km sejam kerana kelajuan lori kami 90 km sejam,” katanya.

Vikkines berkata, mereka dalam perjalanan untuk menghantar barang dari Kuala Lumpur ke Singapura.

“Kami turut berhenti dan membantu menurunkan semua penumpang bas dan menghubungi PLUSRonda dan ambulans,” katanya.

Loading...
Terkini