comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemalangan babitkan 12 kenderaan, 3 cedera

FOTO: Sumber Media Sosial

JOHOR BAHRU: Tiga pemandu kenderaan termasuk dua perempuan dan seorang lelaki mengalami kecederaan dalam kemalangan membabitkan 12 kenderaan di Kilometer 11.1 Lebuhraya Pasir Gudang menghala Perling, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia antara 20-an hingga 60-an yang mengalami kecederaan ringan di bahagian wajah itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, kejadian membabitkan 12 kenderaan termasuk sebuah treler, tiga lori dan lapan kereta di laluan menghala ke Perling.

FOTO: Media Sosial

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Mercedes Benz dipandu seorang lelaki tempatan berusia 20-an mengubah laluan dari lorong tengah ke lorong kanan.

Katanya, ia menyebabkan seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an yang memandu treler tidak dapat mengelak hingga merempuh kereta itu sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh 10 kenderaan yang sedang berhenti di laluan itu.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis memohon saksi awam yang melihat kejadian supaya tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Kelly Lee Ya Yek di talian 014-6977122,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini