BESUT: Proses untuk melaksanakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) kini berada di peringkat fasa akhir untuk mendapat kelulusan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata, pihaknya masih menunggu kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Katanya, pelbagai aspek perlu diteliti supaya tidak mendatangkan mudarat dan dalam proses penelitian itu akan ada perkara yang boleh menimbulkan pertikaian.
“Memang kita bercita-cita mahu melaksanakan lebih awal akta itu tetapi apakan daya bukan semua keputusan dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) tetapi membabitkan banyak pihak.
“Apabila Jabatan Peguam Negara memberi kelulusan terhadap lima peraturan satu perintah dalam akta itu… langkah penguatkuasaan akan dikembalikan kepada KKM untuk dilaksanakan,” katanya kepada media ketika Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Kampung Nelayan, Pulau Perhentian Kecil, di sini, hari ini.
Katanya, walaupun akta berkenaan belum dilaksanakan namun pelaksanaan 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 diguna pakai.
“Selagi akta itu tidak dilaksanakan, PPKHT 2004 digunakan jadinya tiada rehat… tiada istilah lompang dalam penguatkuasaan undang-undang,” katanya.
Katanya, sepanjang tempoh Januari sehingga Julai lalu, sebanyak 10,332 operasi pematuhan kepada larangan merokok tempat awam dilaksanakan.
“Dalam tempoh itu, sebanyak 75,582 notis kesalahan dikeluarkan dan 31, 754 notis kesalahan adalah di bawah Peraturan 11(1)(d) PPKHT 2004 berkaitan larangan merokok di tempat awam dikeluarkan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.