Tumpuan :
Nasional

Keluhan peniaga Hentian Sebelah Bukit Besi

Sebuah kedai makan di Hentian Sebelah Bukit Besi terpaksa ditutup oleh pengusahanya akibat kekurangan pelanggan. NSTP

DUNGUN: Peniaga di kawasan Hentian Sebelah Bukit Besi, dekat sini, mengeluh perniagaan merosot teruk berikutan penutupan jalan Jerangau-Jabor, sejak sebulan lalu.

Jalan di Kilometer 72.5 itu ditutup kepada semua lalu lintas selepas jalan di situ runtuh akibat dilanda banjir, Disember lalu.

Peniaga, Mohd Zainal Azami, berkata hentian rehat yang terletak di laluan utama menuju ke Kuala Terengganu dan Kuantan itu adalah kawasan tumpuan pemandu kenderaan berhenti sebelum meneruskan perjalanan.

“Apabila jalan ditutup, pengguna terpaksa menggunakan laluan lain dan ini menyebabkan jualan kami di sini merosot teruk sehingga 60 peratus.

“Buat masa ini, memang kurang pelanggan, terus terang saya cakap tiada untung kerana hasil jualan sekadar cukup membayar gaji tiga pekerja,” katanya yang mengusahakan kedai makan.

Katanya, hasil pendapatan mereka bergantung kepada pengunjung luar dan keadaan itu menyebabkan ada beberapa peniaga terpaksa menutup kedai kerana tidak sanggup menanggung kerugian.

Zainab Che Isa, 55, berkata pendapatan harian hasil jualan barangan runcit di hentian itu sebelum ini sekitar RM500 sehari dan kini pendapatannya hanya sekitar RM100.

“Laluan ini menjadi nadi perhubungan lebih 5,000 penduduk Pasir Raja, Kuala Jengai, Tepoh, Minda, Dendang, Jerangau dan Paya Rawas.

“Kini semua penduduk kampung terpaksa menggunakan jalan Kampung Wa dan Kampung Besul untuk ke Bandar Dungun dan Kuantan, sekali gus mengurangkan pendapatan kami.

“Kami sangat berharap supaya jalan itu segera dibaiki kerana pekerjaan ini adalah pencarian utama kami untuk menampung hidup,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, berkata masalah kerosakan jalan itu sudah diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Kerja-kerja pembaikan jalan akan mengambil masa antara tiga hingga empat bulan berikutan berlaku kerosakan teruk pada struktur jalan.

“Kita harap penduduk dan peniaga di hentian ini dapat bersabar sehingga kerja pembaikan dapat disiapkan dengan sempurna,” katanya.– BERITA HARIAN

Loading...
Terkini