comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Keluhan nelayan pantai terpaksa ikat perut di musim tengkujuh

 

Oleh Ezzuan Ahmad

DUNGUN : Setiap kali tiba musim tengkujuh, nelayan di terengganu antara teruk terkesan kerana tidak dapat ke laut sekali gus menyebabkan mereka hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga.

Nelayan menyifatkan, sepanjang enam bulan bermula akhir Oktober  adalah waktu getir terutama kepada  nelayan pesisir pantai.

Bagi 415 orang nelayan pesisir pantai di daerah kemaman dan dungun, keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut kerana tiada pendapatan dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan RM300 .

Ada antara mereka juga  terpaksa mencari pekerjaan lain.

Tinjauan Buletin TV3 di perkampungan nelayan di Kuala Paka mendapati jeti yang sebelum ini sibuk dengan aktiviti bertukar suram .

Nelayan yang ditemui menyifatkan musim tengkujuh  waktu paling  mencabar apabila tiada pendapatan tatkala mereka bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat dan harga barang keperluan  yang semakin mahal  .

 

Menurut Kamarudin Hassan, ada juga dalam kalangan mereka tiada pilihan lain dan terpaksa menggadaikan nyawa dengan turun  juga ke laut untuk mencari rezeki meskipun sedar akan bahaya menanti.

”Tengok lah, yang mana ada simpanan, yang ada simpanan tu alhamdulillah lah, cukup makan, makna yang tak ada simpanan tu nasib lah, ye lah, maknanya pada keadaan musim ni, musim bulan tengkujuh ni , keadaan masa nak buka sekolah, atas, rezeki masing-masing lah, yang ada pandai simpan, boleh lah,” katanya.

Zakaria Abdul Rahman pula memberitahu untuk kelangsungan hidup, dia mengunakan simpanan yang ada .

”Pendapatan memang tak dok, sekarang gini, masa – masa ke laut, bulan, lima, enam , tujuh , bulan lapan, dan kita simpan sikit , kita masuk bank skit, buat nak makan musim ni lah, musim tengkujuh gini , untuk belanja harian”, katanya.

Akibat dari keadaan itu, ada nelayan yang terpaksa menumpang bot besar untuk turun juga ke laut memandangkan perlu menyara keluarga dan ada juga yang melakukan kerja-kerja kampung  .

Kini mereka runsing kerana duit simpanan mula menyusut dan terpaksa memikirkan alternatif lain untuk menambah pendapatan serta  berharap kerajaan dapat menyalurkan bantuan tambahan selain  elaun bulanan yang diterima  .

Loading...
Terkini