Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Keluarga terkejut, lelaki OKU keluar rumah sejak 2022 ditemui mati semalam

 


PETALING JAYA: Keluarga mendiang Ow Yang Kai Mun, 62, lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental yang ditemui mati dalam sebuah kondominium terkejut dengan khabar berita duka itu semalam.

Menurut adik iparnya, Liana Abdullah, 55, beliau dan keluarga tidak menyangka, perbualan terakhir pada Januari tahun lalu merupakan perbualan terakhir bersama mendiang.

“Semalam jam 5 petang, kami dapat panggilan daripada orang ketiga (individu dikenali) mengenai abang ipar saya telah meninggal dunia di sebuah kondominium di Petaling Jaya.

“Sangat terkejut dapat berita dia meninggal dunia, selama ini kita mencari dia, tak dapat hubungi dia. Kita dah buat beberapa laporan polis, diberitahu bahawa dia selamat,” jelasnya.

Tambah Liana, mendiang telah bertindak keluar dari rumah keluarganya sejak November 2022 sebelum beberapa laporan polis dibuat keluarga.

“Pada 21 November 2022, lebih kurang satu setengah tahun dia telah lari dari rumah dan dibawa oleh pihak ketiga.

“Beberapa laporan polis dibuat bulan November, Disember 2022 sehingga Januari 2023. Dia ada hubungi keluarga masa dia hilang sebab dia ada bawa telefon bimbitnya.

“Waktu itu dia ada maklumkan berada di Johor. Bila ditanya dimana lokasi, dia enggan bagitahu kami tapi berjanji akan pulang dalam tempoh seminggu.

“Dia cakap dia rindu mak, tapi bila tanya dengan siapa, dia ada maklumkan dia dengan seseorang yang sediakan tempat tinggal di Johor,” katanya lagi.

Beberapa panggilan telefon berjaya dibuat keluarga, namun mangsa jelas Liana enggan pulang meskipun dipujuk mereka.

Bagaimanapun sejak Januari tahun lalu, telefon bimbit mangsa gagal dihubungi keluarga.

“Ibu cuba pujuk (supaya dia pulang) dia enggan dengar. Dia cakap dia balik nak bincang. Ini Januari 2023, setelah perbualan terakhir.

“Talian dia tidak aktif sejak hari itu, sampailah ke semalam, waktu dapat berita dia dah meninggal dunia,” katanya lagi.

Dari sudut keluarga ujar Liana, mahukan keadilan buat mangsa sekiranya terdapat unsur jenayah dalam kematian abang iparnya itu.

Mayat mendiang yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) Mental ditemui dalam keadaan reput di dalam sebuah kondominium di sini petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu daripada orang awam kira-kira jam 12.48 tengahari semalam.

Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Sehingga kini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini