Tumpuan :
Nasional

Keluarga Sabari adakan solat jenazah ghaib

Subhiah Roslina hadir ke lokasi pencarian suaminya yang dicampak dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa. – FOTO: NSTP

JITRA: Keluarga pesara pegawai kewangan FELCRA, Allahyarham Sabari Baharom, 62, akan mengadakan solat jenazah ghaib susulan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Padang Terap dekat sini dihentikan petang semalam.

Isterinya, Subhiah Roslina Shahibi, 57, berkata pihak keluarga akan menguruskan perkara itu sejurus beliau tiba di Kuala Lumpur nanti.

“Pihak FELCRA, biro agama, surau dan masjid tempat arwah tinggal pun sudah mula buat solat jenazah ghaib. Keluarga kami reda SAR dihentikan, tetapi jika orang kampung masih mahu berusaha, teruskanlah (pencarian),” katanya selepas melawat Jambatan Sungai Empa dekat sini bersama ahli keluarganya, hari ini.

Subhiah Roslina yang juga pegawai FELCRA mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terbabit dalam operasi SAR dan bersyukur kerana berpeluang mengikuti operasi itu sehingga tamat semalam.

Media sebelum ini melaporkan Sabari hilang sejak 4 September lalu dan kereta Proton Waja dinaikinya ditemukan hangus di Belantik, Sik.

Polis pada Isnin lalu mengesahkan Sabari dicampak ke Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup pita pelekat dan dua lelaki berusia 26 serta 38 tahun ditahan Jumaat lalu bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini