comscore
Tumpuan :
Nasional

Keluarga resah, kehilangan Sabari masuk minggu ketiga

FOTO: NSTP

BALING: Keluarga kepada Sabari Baharom, 62, yang dilaporkan hilang sejak 3 September lalu semakin resah berikutan masih belum menerima sebarang perkembangan kehilangan warga emas itu yang kini masuk minggu ketiga.

Anak sulungnya, Suraiya Izzaty Sabari, 29, berkata, sejak bapanya disyaki hilang selepas gagal dihubungi, usaha mencari dan mengesannya masih menemui jalan buntu.

“Kami sekeluarga berharap agar tiada perkara buruk yang berlaku terhadap ayah. Kami harap (jika melibatkan orang lain) mereka pulangkan kembali ayah kami dalam keadaan selamat.

“Ayah tiada musuh dan dia tidak sebut pun ada masalah kerana selalunya ayah akan beritahu kami adik-beradik jika ada masalah kewangan atau sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah ayahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang di sini hari ini.

Suraiya Izzaty berkata pada mulanya mereka menyangka bapanya berkunjung ke rumah kawan atau saudara mara atau pergi ke negara jiran bersama rakan baiknya tetapi semua sangkaan itu meleset.

Dia berkata satu laporan polis dibuat pada 7 September lepas memaklumkan mengenai kehilangan bapanya sebelum adik-beradiknya dipanggil ke balai bagi memberikan keterangan pada keesokan hari.

Suraiya Izzaty berkata pada 12 September hebahan orang hilang telah dibuat oleh polis, namun tiada perkembangan hingga penemuan sebuah kereta yang hangus di kawasan Pulau Belantik, Sik.

“Pada Jumaat lepas kami dimaklumkan bahawa kereta yang terbakar iaitu jenis Proton Waja itu adalah kereta milik ayah.

“Kami turut mendapat maklumat mengenai pengeluaran wang dalam jumlah yang agak besar melibatkan satu daripada akaun bank ayah sedangkan wang di situ ayah simpan cukup-cukup untuk dia menunaikan ibadah haji,” katanya.

Suraiya Izzati berkata bapanya yang merupakan bekas pegawai kewangan dan seorang yang amat teliti berhubung pengeluaran wang serta tidak gemar bermewah.

“Hidup ayah biasa-biasa sahaja malah rutinnya selepas pencen akan solat berjemaah di masjid, sarapan bersama jemaah di kedai sebelum pergi menjengah kebun. Kami sering berhubung, jadi bila dia hilang tiba-tiba kami tiga beradik gusar dan berharap ayah pulang dalam keadaan selamat,” katanya.

Laporan media menyatakan Sabari dipercayai keluar dari rumahnya pada malam 3 September lepas dengan menaiki kereta jenis Proton Waja berwarna emas dan sejak itu tidak pulang ke rumah.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini