Tumpuan :
Nasional

Keluarga nomad hidup dalam kereta ditempatkan di PPR Kempas Permai – EXCO Johor

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, melihat pasangan suami isteri yang kesempitan hidup dan berdepan masalah kewangan sehingga terpaksa tinggal di dalam kereta serta berpindah randah, di sini, semalam. -FOTO NSTP/IHSAN EXCO

ISKANDAR PUTERI: Pasangan suami isteri yang kesempitan hidup dan berdepan masalah kewangan sehingga terpaksa tinggal dalam kereta serta berpindah randah sejak dua bulan bersama ahli keluarganya, mendapat perhatian kerajaan negeri.

Kisah pasangan itu dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

“Semalam ketika solat zuhur di Masjid Kota Iskandar, saya dimaklumkan ada sepasang suami isteri yang telah dua bulan tinggal di dalam kereta dan berpindah randah kerana terpaksa mengosongkan rumah sewa atas faktor kesempitan hidup dan masalah kewangan.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid untuk membantu pasangan suami isteri ini,” katanya dalam muat naik berkenaan.

Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, berkata pihaknya juga telah meminta pegawai Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor untuk segera menempatkan pasangan ini di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai di bawah unit kecemasan PKPJ.

“Sebelum maghrib petang semalam dengan bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di bawah penyelarasan Mohd Fared pasangan ini dipindahkan ke PPR Kempas.

“JKM di bawah penyelarasan Khairin Nisa juga akan memberikan bantuan yang bersesuaian bagi memastikan pasangan ini boleh meneruskan hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan berusaha sehabis baik memastikan kebajikan rakyat Johor dijaga.

“Semoga pasangan ini akan terus kuat semangat meneruskan hidup mereka,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini