comscore
Tumpuan :
Nasional

Keluarga Muhammad Hafiz terima bayaran dari caruman PERKESO

Oleh: Kumaran Rajamoney

SUNGAI PETANI: Keluarga pemandu p-hailing, Muhammad Hafiz Muhamad Salleh yang maut dalam kejadian pesawat terhempas di Elmina, menerima bayaran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hasil caruman dibawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, bayaran berjumlah RM1894.75 akan dibuat dengan pembahagian sama rata kepada ibu, bapa dan adik arwah yang masih belajar.

“Di samping itu, kita juga buat semakan dengan akta yang sedia ada, dan dapati beliau pernah mencarum ketika bekerja dengan sebuah syarikat logistik. Ini membolehkan keluarga beliau menerima faedah dibawah Akta 4.”

“Jadi saya mohon kepada pekerja p-hailing untuk segera mencarum. Data menunjukkan hanya 29.8 peratus pekerja industri ini mencarum dalam PERKESO meskipun manfaatnya adalah sangat tinggi,” katanya.

Beliau menambah, pencarum hanya perlu membuat bayaran 20 peratus dari nilai sebenar caruman, dengan selebihnya disubsidi oleh kerajaan.

Kejadian kemalangan di Elmina itu katanya adalah contoh terbaik keperluan melakukan caruman dalam PERKESO.

“Seorang lagi mangsa yang juga pekerja p-hailing tidak menerima manfaat kerana tiada caruman dengan PERKESO.”

Dalam pada itu, Muhamad Salleh Othman menyifatkan anaknya, Hafiz sebagai seorang yang bertanggungjawab.

Ini termasuk dengan memilih untuk membuat caruman PERKESO demi kepentingan kebajikan diri dan keluarga.

“Sifat dia memang macam tu. Dia sangat utamakan keuarga. Alhamudulillah, perancangan dia memberikan manfaat kepada adik-adiknya.”

Loading...
Terkini