Tumpuan :
Nasional

Keluarga Komando Edrin terima pampasan

Keluarga Komando Edrin terima pampasan

KUALA LUMPUR: Keluarga anggota komando Lans Kpl Edrin Baintim yang lemas ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Undan, Melaka pada 7 Feb lepas akan menerima bayaran pampasan bermula bulan hadapan.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata waris mendiang akan menerima bayaran dalam dua bentuk iaitu bayaran bulanan dan bayaran sekali bayar.

“Bagi bayaran bulanan, mangsa akan menerima pencen terbitan berjumlah RM459.80, pencen orang tanggungan sebanyak RM287.36 sebulan dan ex-gratia orang tanggungan sebanyak RM781.63 sebulan. Jumlah keseluruhan setiap bulan adalah sebanyak RM1,528.80.

“Bagi bayaran sekali gus atau one off adalah sebanyak RM14,738.95 membabitkan masing-masing ganjaran terbitan bernilai RM9,310.95 dan faedah gantian cuti rehat sebanyak RM5,428,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas sambutan Hari Tentera Darat ke-90, di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Pada 7 Feb lepas, Edrin, 25, yang merupakan anggota Tentera Darat daripada Grup Gerak Khas (GGK) atau lebih dikenali sebagai komando, dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.

Dia yang menyertai latihan eksesais ‘Pari Harimau’ iaitu kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta dari Pulpak Sungai Udang, ditemukan terdampar, lengkap berpakaian sut penyelam oleh orang ramai di pantai bakau Tanjung Sepat, Selangor pada 10.15 pagi, 19 Feb lepas.

Sementara itu, mengulas mengenai Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas, Zamrose berkata Tentera Darat Malaysia (TDM) diperuntukkan sebanyak RM6.5 bilion dari keseluruhan RM17.7 bilion yang disalurkan kerajaan kepada Kementerian Pertahanan.

“Kalau nak cakap sama ada cukup atau tidak, ia memang tidak mencukupi tetapi TDM akan sentiasa menggunakan sebaiknya apa yang ada (aset)… kita faham situasi kewangan negara jadi kita akan gunakan aset-aset sedia ada,” katanya.

Bagaimanapun, Zamrose melahirkan harapan supaya TDM dapat membuat perolehan aset baharu namun pada masa sama beliau berkata pihaknya akan sentiasa menyesuaikan dengan situasi semasa.

— BERNAMA

Loading...
Terkini