KUALA LUMPUR: Keluarga, dan sahabat rapat mengiringi perjalanan terakhir jenazah Allahyarham Muhammad Zaman Goh Abdullah atau lebih dikenali sebagai Raymond Goh yang meninggal dunia pagi tadi, selepas bertarung serangan angin ahmar.
Terdahulu, suasana pilu dan sedih menyelubungi majlis pengebumian pembaca berita Nightline di TV3 itu yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, jam 5.25 petang.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah rakan penyampai, Datuk Ras Adiba Radzi, Zahir Kelvin Ong Abdullah dan Tengku Elida Bustamam.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandi dan disolatkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, selepas selesai solat Asar.
Allahyarham sebelum ini dilaporkan bertarung nyawa selama hampir dua minggu di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat diserang angin ahmar.
Artikel berkaitan: Raymond Goh masih dirawat di hospital – Isteri
Berita sedih dimaklumkan isterinya, Faridah Teh dalam satu kenyataan kepada media.
Artikel berkaitan: Raymond Goh meninggal dunia
Menurut Faridah, dia dan keluarga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai di atas kasih sayang dan sokongan padu sepanjang suaminya dilaporkan terlantar di hospital.
Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan kepada bilik berita TV3 serta Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima.
Ramai yang mengenali Allahyarham sebagai seorang yang sinonim dengan TV dan antara penyampai berita perintis yang menjadikan edisi berita bahasa Inggeris begitu menonjol.
Suara dan gaya penyampaian berita Allahyarham juga mempunyai keunikan tersendiri.
Allahyarham juga menjadi mentor kepada kakitangan dan pembaca berita baharu di saluran televisyen Media Prima.
Artikel berkaitan: Raymond Goh bak permata dalam bidang penyampaian berita – Ras Adiba