
Oleh: Zahir Senapiah
KLUANG: Selepas sembilan tahun hidup dalam timbunan sampah, empat beranak di sini bersyukur kerana akhirnya dapat berpindah ke rumah baharu yang dilengkapi kemudahan asas.
Rosiah Mohd Ariff, 37, berkata perpindahan itu hasil bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah, yang menziarahinya pagi tadi dan bersetuju membiayai kos perpindahan mereka.
“Saya bekerja di kilang membuat colok dengan gaji RM65 sehari untuk menyara empat anak, termasuk anak sulung yang juga orang kurang upaya (OKU).
“Saya mempunyai dua anak lelaki dan dua anak perempuan berusia antara 7 hingga 13 tahun,” katanya ketika ditemui di Kluang.
Meskipun hidup dalam keadaan daif, Rosiah bersyukur kerana dia dan anak-anaknya tidak pernah mengalami masalah kesihatan serius.
Menurutnya, mereka terpaksa tinggal dalam keadaan itu selepas suaminya dipenjara atas kesalahan dadah tujuh tahun lalu, manakala abangnya turut terjebak dengan najis dadah.
Sementara itu, Syed Hussein berkata, keputusan memindahkan keluarga itu dibuat atas faktor keselamatan, terutama kerana anak-anak masih kecil dan seorang daripadanya adalah OKU.
“Kami dari pejabat DUN mendahulukan sedikit wang untuk mereka berpindah kerana aspek keselamatan adalah keutamaan.
“Dengan tindakan drastik ini, kita dapat menempatkan mereka dalam kediaman yang lebih selesa,” katanya selepas menziarahi keluarga itu.
Keluarga berkenaan kini ditempatkan di sebuah rumah di Kampung Tengah yang mempunyai bekalan elektrik dan air.
Sebelum ini, tular di media sosial memaparkan keadaan mereka tinggal di rumah yang dipenuhi sampah di Kampung Padang Tembak, Kluang.
Rosiah menyewa rumah itu sejak 2016 dengan kadar RM150 sebulan, namun kekangan kewangan menghalangnya daripada mencari rumah sewa lain.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.