![](https://media.buletintv3.my/2024/08/B5E8tv7L-TdWKBZgF-BULETIN-TV3-A-31.jpg)
ALOR GAJAH: Keluarga Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi yang dibunuh kejam dengan anggota badan termasuk kepala serta kedua belah tangan dan kakinya dikerat, berharap proses tuntutan jenazah dapat dipercepatkan.
Suaminya, Mohd Yusof Mokhtar, 35, bagaimanapun akur bahawa polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu termasuk menunggu laporan ujian padanan asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas kepala dan jari yang dijalankan Jabatan Kimia Malaysia.
Beliau berkata, pada masa sama beliau sekeluarga terus mengikuti laporan kes Allahyarham isterinya berusia 33 tahun itu termasuk di portal berita secara atas talian.
“Itulah, saya baca juga (berita mayat belum boleh dituntut dan polis menunggu laporan DNA) dan hanya menunggu panggilan daripada pihak polis di sana (Melaka).
“Saya juga tidak dapat apa-apa maklumat lagi…semoga (proses tuntutan) dipercepatkan,” katanya dihubungi hari ini menerusi aplikasi WhatsApp.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, keputusan ujian DNA ke atas kepala dan jari dijangka diketahui selewat-lewatnya minggu depan sebelum jenazah dibenarkan untuk dituntut oleh ahli keluarga mangsa.
Katanya, dua bahagian itu antara anggota tubuh yang baharu ditemui selepas penahanan suspek lelaki berusia 37 tahun yang juga bekas kenalan mangsa di universiti.
“Polis masih tunggu keputusan DNA jari dan kepala serta arahan daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) sebelum jenazah dibenarkan dituntut daripada hospital.
“Kita (jangka) minggu hadapan dan kalau dapat laporan lebih awal saya akan maklumkan kemudian,” katanya.
Pada 6 Januari lalu, media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki, dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang kira-kira 2 petang.
Siasatan awal disyaki mangsa dibunuh dengan anggota badan iaitu kepala, tangan dan kaki dipotong dan disumbat ke dalam tong sampah sebelum dibuang ke dalam longkang.
Namun, identiti mangsa gagal dikenal pasti dan pihak patologi hanya mengesahkan mayat adalah wanita dianggarkan berumur antara 20 hingga 30-an.
Polis turut menjalankan ujian DNA ke atas dua kes orang hilang dalam tempoh sebulan sebelum itu termasuk Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella, namun negatif.
Selepas lapan bulan, polis kelmarin mengesahkan mayat berkenaan adalah Istiqomah Ahmad Rozi, yang dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023.
Susulan itu Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, menahan sepasang suami isteri berusia 37 dan 36 tahun di Chemor, Perak pada 5 Ogos lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- “Selama ini jasad awak dekat dengan saya, sayang awak dunia akhirat”
- Kronologi kes pembunuhan kejam Istiqomah
- Polis masih kesan anggota badan mayat Istiqomah
- Kami sedia bantu siasatan kes bunuh Cikgu Istiqomah – Polis Perak
- Polis tunggu keputusan DNA kepala, tulang jari sebelum mayat Istiqomah dituntut waris
- Johor sedia khidmat kaunseling kepada keluarga Cikgu Istiqomah