comscore
Tumpuan :
Nasional

Keluarga harap pelajar Malaysia di Bangladesh dibawa pulang segera

Antara kemusnahan akibat pergolakan yang sedang melanda Bangladesh. – FOTO: Reuters

KUALA LUMPUR: Ahli keluarga pelajar Malaysia yang terjejas dengan situasi terkini di Bangladesh, berharap usaha membawa semua pelajar terbabit pulang dapat disegerakan susulan keadaan meruncing di negara itu.

Ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp semalam, pelajar Ijazah Sarjana Perubatan dan Pembedahan di Mymensingh Medical College, Ahmad Wafiq Aqil Kamarul, 23, berkata, keadaan di Bangladesh cukup membimbangkan dan keselamatan pelajar juga dikhuatiri terkesan jika tiada tindakan evakuasi segera diambil.

“Dengan situasi kini yang mana Internet dan perbankan juga sudah mula alami gangguan di seluruh negara itu, ahli keluarga pelajar yang bermesyuarat dan juga yang saya temui di tanah air, hari ini (semalam), sependapat usaha bawa pulang semua pelajar perlu disegerakan.

“Rusuhan berpotensi berlaku di mana-mana saja dan tanpa sekatan. Saya tidak pasti kalau konflik yang terjadi boleh diatasi dalam tempoh terdekat,” katanya yang tiba di Malaysia melalui penerbangan komersial, Khamis lalu.

Menceritakan detik-detik awal rusuhan yang tercetus, baru-baru ini, Ahmad Wafiq Aqil berkata, keadaan menjadi rumit terutama setelah perkhidmatan Internet, rangkaian data mudah alih dan perkhidmatan pengangkutan awam terganggu.

“Saya sampai saja di lapangan terbang, semua rangkaian komunikasi sudahpun mulai terputus ketika itu. Dengan perintah berkurung yang mula berkuat kuasa semalam (kelmarin), dan penutupan semua institusi pendidikan di sana, wajar untuk semua pelajar kita dibawa pulang segera,” katanya.

Terbaharu, Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) menegaskan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di luar negara tetap menjadi kepentingan utama berikutan situasi semasa di Bangladesh.

Dalam satu kenyataan semalam, Wisma Putra mengesahkan pelajar Malaysia yang terjejas dengan situasi semasa di Bangladesh telah dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi untuk keselamatan mereka.

Menurut kenyataan itu lagi, Wisma Putra dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sedang mempertimbangkan semua pilihan yang ada, termasuk pemindahan jika perlu, melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan agensi berkaitan lain untuk membantu pelajar Malaysia di Bangladesh.

Hingga lewat Jumaat lalu, daripada 95 pelajar Malaysia di Bangladesh, dua orang telah meninggalkan Dhaka baru-baru ini dengan bantuan Suruhanjaya Tinggi.

Kerajaan Bangladesh telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara pada Sabtu lalu sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini