JITRA: “Kami berharap jasad anak saudara, Ismail Hashim ditemui segera dan kalau tersangkut, timbullah cepat,” kata Romli Bakar.
Menurut Romli, 61, dia terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan mangsa, 49, ketika dia tenggelam timbul dalam air, semalam.
Katanya, dia sempat berenang untuk membantu Ismail tetapi terpaksa berpatah balik kerana air deras selain paras air yang dalam.
“Saya menghubungi pihak Bomba pada jam 7.21 petang semalam sebaik melihat Ismail tenggelam dalam sungai.
“Ketika dia tenggelam timbul, saya sangkakan dia berenang tetapi rupanya dia lemas,” katanya ketika ditemui di lokasi mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Kampung Paya Parit Latih, di sini hari ini.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, operasi akan disambung esok pada jam 8 pagi dengan pencarian selaman oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra dan Sungai Petani.
Namun katanya, operasi pencarian di permukaan air tetap diteruskan oleh anggota BBP Jitra pada waktu malam.
“Operasi masih belum berhasil untuk menemukan mangsa sehingga jam 7.30 malam ini selepas memasuki tempoh 24 jam.
“Tindakan operasi berdasarkan penilaian terhadap operasi kejadian, anggota PPDA melakukan lapan kali selaman sepanjang radius 100 meter dari mangsa dilaporkan tenggelam.
“Pada masa sama, Unit Anjing K-9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut membantu mengesan kedudukan mangsa namun masih belum berhasil untuk menemukan mangsa.
“Selain itu, pihak Bomba turut hadapi cabaran air begitu deras.
“Operasi selaman akan disambung esok dan pencarian di permukaan masih diteruskan oleh anggota bertugas,” katanya di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika memukat ikan di Jalan Paya Kubang Lembu, Kampung Tok Kesop pada jam 7.15 malam semalam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.